November 16, 2011

tenang mu...

TENANG DALAM PERJUANGAN
Haji Ishak Itam
Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia


Seperti kata-kata yang telah mendahului kita; "… selagi bernafas, selagi itu hidup. Selagi hidup selagi itulah ilmu dicari. Ilmu yang tiada penghujung".

Begitu juga dalam perjuangan. Selagi bernyawa mereka yang sudah menyimpan atau perasaan yang sudah tersimpan akan terus bersemangat untuk langkah ke depan. Ada yang perlu bersingseng lengan, ada yang tidak perlu. Namun perjuangan peribadi wajar diaruskan supaya ia mengalir ke satu arah. Arah mungkin tidak menentu tetapi tetap kembali ke satu. Yang faham akan perjuangan tidak berganjak, yang mengerti erti perjuangan akan berlangkah untuk menyambung. Ini amanah dan ini juga amanat batin.

Haji Ishak Itam, Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia tahu erti-maksud perjuangan itu. Walaupun tidak pernah terfikir atau terlintas akan menjadi pemimpin tertinggi apatah lagi dapat kepercayaan ahli-ahli untuk menjadi guru utama sesebuah pertubuhan terbesar di negara ini. "Saya tidak pernah terfikir dan apabila diminta untuk menjadi guru utama, saya tersentak dan banyak berdoa…," kata Haji Ishak atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Ak'.

Ditanya mengenai perjuangan, dengan pantas tetapi senyum; "Masih banyak untuk diperjuangkan. Terutama dalam perpaduan antara umat Islam," Haji Ishak dilahirkan di Simpang 4 Kangkong, Batu 6, Alor Setar, Kedah kira-kira 63 tahun lalu. Ayah beliau keturunan Banjar manakala ibunya (Patimah Mat Din) dari Setoi. Dulu Setoi di bawah jajahan Kedah, kini di bawah jajahan Thailand. Haji Ishak adalah nombor tiga dalam bilangan 11 adik beradik.

Ikut sejarah, bapanya ada mewarisi darah pendekar dan ulama manakala ibunya pula Panglima Tahar iaitu seorang panglima seangkatan Panglima Ismail. Panglima-panglima ketika itu mengawal raja dan negeri serta mahir dalam seni tempur.

"Saya masih menyimpan senjata datuk saya seperti keris dan badik manakala tombak disimpan oleh adik saya (Ahmad Itam) yang tinggal di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam," kata Haji Ishak yang ditemui di Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Seperti pepatah; ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Haji Ishak mula mendapat dedahan ilmu persilatan dari bapanya ketika berusia sembilan tahun. Beliau mempelajari seni silat Gayong Fatani dengan bapa saudaranya (Bakar Din) hingga berusia 18 tahun sebelum beralih kepada Kuntau Jawa di bawah asuhan seorang guru dikenali Hasan Jawa."Sebagai penduduk kampung dan minat ketika itu pada ilmu persilatan. Kami mencari yang terbaik, jika tinggal jauh, kami jemput ke berbangsal di kampung kami," imbas Haji Ishak.

Sesudah Kuntau Jawa, seorang guru dari Pendang dikenal Tok Awang turut dijemput dari Bukit Kecik, Bukit Mertajam untuk mengajar."Kami bayar kepada beliau RM10 sebulan," ringkas Haji Ishak. Ilmu yang bakal diperolehi manusia hanya setitik di air laut. Haji Ishak terus dahagakan ilmu kependekaran. Beliau sedar, ilmu persilatan tiada noktah dan sempadan. Usaha untuk mencari guru terus memburu. Haji Ishak terus melangkah di gelanggang Silat Sendeng dan Silat Minangkabau. Dalam masa yang sama mempelajari Tomoi Siam dari seorang pemandu 'lori balak' bernama Osman Ahmad."Orangnya tinggi dan berfizikal tegap. Beliau dikenali Man Balak dan saya belajar hingga menjadi guru tomoi selama dua tahun, imbas Haji Ishak.

Pada tahun 1969, Haji Ishak diberitahu oleh seorang tukang gunting mengenai seorang guru silat yang terkenal dan telah membuka kelas di Kubang Semang. Kehebatan guru itu melalui cerita tukang gunting berkenaan telah menarik minat Haji Ishak. Beliau enggan melepas peluang untuk 'berdepan' dengan guru yang bernama Ustaz Hanafi Haji Ahmad. "Ini guru Tomoi Siam. Kenapa hendak belajar?" adalah antara kata-kata awal yang masih terpahat di ingatan Haji Ishak ketika menemui Ustaz Hanafi. Bak kata pepatah, lihat ikan di air sudah tahu jantan atau betina. Ustaz Hanafi 'kenal' seorang pendekar bila ditemui. Haji Ishak adalah murid ke 17 Ustaz Hanafi dan kegigihan beliau membuat dirinya tamat pelajaran hanya dua bulan 10 hari atau 30 kali berlatih. "Saya kagum dengan Silat Cekak. Almarhum Ustaz Hanafi suruh saya mencubanya dengan beberapa buah pukulan terbaik yang saya pelajari… saya tewas.

"Bagaimanapun balasan pukulan saya disambut dengan tidak mencederakan saya," ceritanya.
Sehubungan itu, Haji Ishak mengambil keputusan untuk terus bersama Silat Cekak dan menjadi jurulatih perguruan itu.

Kenapa beralih ke Cekak? Soal penulis. Haji Ishak dengan terbuka memberitahu banyak buah dari perguruan yang dipelajari tewas.

"Termasuk dapat mengatasi Tomoi Siam…," jawabnya ringkas.

"Hampir setiap malam latihan saya cuba Almarhum Ustaz Hanafi tetapi tak berjaya juga," senyum Haji Ishak.

Beliau kemudiannya mengajar kelas latihan Silat Cekak di Seberang Perai dan Pulau Pinang selain membuat penerangan dan demonstrasi.

Setelah Ustaz Hanafi meninggal dunia (13 Ogos 1986), Haji Ishak telah diisytiharkan sebagai Guru Utama pada 21 September 1986.

"Saya tidak pernah menduga untuk menjadi pemimpin. Saya sukar untuk membuat keputusan dan ketika itu banyak berdoa," ujarnya.
Mengenai Silat Cekak, Haji Ishak memberitahu pendidikan perguruan itu mengajar seseorang erti keyakinan.

"Cekak membawa erti tanggungjawab terhadap keluarga, diri dan sebagainya. Permainan Cekak berdiri lurus sama seperti seseorang itu diajar jangan berbohong sombong atau berdabik dada sebaliknya jujur, tetapkan pendirian dan pelbagai lagi," katanya.

ilmu


ILMU BELA DIRI DARI PERSPEKTIF ISLAM
Y. M. Almarhum Ustaz Hanafi Hj. Ahmad.
Dalam kertas ini ilmu bela diri adalah dimaksudkan dengan ilmu untuk mempertahankan diri daripada ancaman-ancaman, pencerobohan-pencerobohan dan keganasan-keganasan yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab khususnya musuh Allah. Mempertahankan diri pula, dalam ertikata yang luas ialah mempertahankan diri sendiri dan apa jua yang berkaitan dengan diri atau agama, harta dan negara.

Dalam soal mempertahankan diri dari ancaman dan serangan musuh, ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa ilmu bela diri tidak lagi diperlukan kerana kita sudah ada senjata-senjata moden yang boleh membunuh musuh dari jarak jauh. Memang kita tidak menafikan kenyataan bahawa senjata moden itu dapat membedil musuh dari jarak jauh, namun kita berasa hairan kenapakah pada setiap muncung senapang ada diletakkan benet? Tujuan apakah benet itu diletakkan? Bukankah tujuannya untuk menikam musuh dari jarak dekat? Ini membuktikan bahawa ilmu bela diri masih diperlukan walaupun di zaman serba kemajuan yang mempunyai cukup senjata-senjata modennya.

Seperkara lagi, walaupun manusia telah dapat mereka berbagai-bagai alat dan senjata untuk menjamin keamanan manusia dari ancaman musuh, namun ternyata bahawa manusia masih lagi terdedah kepada berbagai-bagai jenis pencerobohan dan ancaman. Oleh itu persedian untuk menjaga diri, agama, harta dan tanahair sentiasa merupakan keperluan asasi lagi dituntut oleh agama.

Nyawa adalah hak Allah. Menjaga dan mempertahankan nyawa menjadi suatu kewajipan utama yang tidak dapat dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun. Dengan itu mempelajari ilmu bela diri sebagai alat mempertahankan diri merupakan suatu perkara wajib. Kenyataan ini sejajar dengan firman Allah yang bermaksud "Dan sediakanlah apa jua jenis kekuatan yang kamu dapat sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, kamu menggentarkan dengannya musuh Allah dan musuh kamu dan musuh-musuh lain juga yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahuinya".

Tuntutan agama supaya seseorang itu mempersiapkan diri dengan ilmu bela diri sudah tentu mempunyai banyak hikmat-hikmatnya yang tersembunyi. Salah satu hikmatnya yang paling nyata sekali ialah seseorang yang mempelajari ilmu bela diri, dia akan dipanadng mulia dan disanjung oleh sahabat dan masyarakatnya, namun sebaliknya pula pihak musuh merasai gentar dan gerun terhadapnya. Demikianlah kelebihannya orang yang memiliki ilmu bela diri.

Dalam surah al-Zumar, Allah berfirman dengan maksudnya : "…..katakanlah wahai Muhammad : Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal sahajalah yang dapat menerima pelajaran." Dalam ayat yang lain Allah berfirman lagi dengan maksudnya : "Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan juga orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat…"

Jelaslah di sini bahawa, kedudukan ilmu bela diri adalah penting dan tinggi statusnya di sisi Islam. Setiap orang hendaklah sedar tentang pentingnya ilmu ini dan mengambil langkah-langkah untuk mempelajarinya.

Bagi bangsa Melayu, ilmu bela diri yang harus dipelajarinya ialah ilmu sifat, kerana di samping ianya dapat digunakan untuk membela diri ia juga merupakan lambang kebudayaan bangsa Melayu. Pada masa sekarang berbagai-bagai jenis ilmu silat Melayu boleh ditemui dan dipelajari. Di antaranya ialah Seni Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Petani, Silat Lincah dan Silat Sendeng. Namun persoalannya sekarang, adakah semua jenis ilmu-ilmu silat Melayu itu benar dan sejajar dengan ajaran dan akidah Islam?

Bagi menjawab persoalan tersebut, seseorang itu hendaklah mengkaji dan menyelidiki dengan teliti jenis-jenis ilmu silat Melayu yang ada, untuk mempastikan kebenarannya sebelum mempelajarinya. Ringkasnya, saya dapat jelaskan bahawa ilmu silat yang sebenar itu mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti berikut :

Bahawa ilmu silat tidak mengamalkan adat-adat istiadat yang berunsur tahyul dan khurafat; Bahawa ilmu silat itu melatih serta mendidik ahli-ahlinya dengan keberanian bukan mengganas atau menceroboh; dan Bahawa ilmu silat itu mengamalkan ilmu kebatinan yang sebenarnya.
Seni Silat Cekak adalah sejenis silat Melayu yang asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri. Adat-adat istiadat yang digunakan dalam silat ini adalah bersih dan jauh dari unsur-unsur tahyul dan khurafat. Sesungguhnya Silat Cekak sememangnya mendokong cita-cita untuk membanteras amalan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam silat-silat Melayu. Antara amalan-amalan karut yang pernah diamalkan oleh setengah-setengah silat ialah membedah dada ayam yang masih hidup untuk melihat hati dan jantungnya bagi tujuan ilmu bela diri; menyapu darah ayam pada kaki untuk untuk mendapat mimpi atau ilham tertentu; menyiram darah ayam di sekitar gelanggang silat untuk meminta sesuatu hajat dan lain-lain lagi. Kita ingin bertanya, untuk siapakah darah ayam itu disiram? Bukankah untuk jin?

Dari segi pelajaran, Seni Silat Cekak mempunyai kaedah pelajaran yang tetap dengan buah-buah pukulan yang cukup lagi kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Pergerakannya pula sesuai benar dengan gerak-geri semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama. Pelajaran Seni Silat Cekak tidak sepeti kebanyakan silat-silat lain. Ia lebih menitik beratkan kepada mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh.

Silat Cekak hanya menyerang apabila terpaksa, demi menjaga keselamatan diri. Sistem pelajaran sedemikian itu secocok dengan ajaran al-Quran yang mengajur supaya tidak menceroboh kecuali diceroboh terlebih dahulu. Firman Tuhan dengan maksudnya : "Sesiapa yang memusuhi kamu, maka hendaklah kamu memusuhinya sebagaimana dia memusuhi kamu." Pelajaran silat yang menumpukan kepada kaedah menyerang semata-mata dipercayai bukan sahaja akan membangkitkan semangat angkuh dan bogkak di kalangan ahli-ahli silat akan tetapi mendorong mereka berlaku kasar dan ganas.

Di samping Silat Cekak melatih sifat keberanian yang merupakan sifat lelaki (rijal) ia juga mendidik ahlinya berperangai baik, hidup bersaudara dan menganjur mereka patuh kepada guru dan tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa. Islam menyuruh patuh kepada guru dan kedua ibu bapa dan melarang keras perbuatan menderhaka kepada mereka. Pendidikan supaya patuh kepada guru dan kedua ibu bapa serta kelebihan-kelebihannya ada dirakamkan di dalam pantun Silat Cekak berikut sebagai rujukan ahli-ahli :
Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.

Taat kepada guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.

Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasa kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhir kelak merosak kita.

Seni Silat Cekak pada hakikatnya adalah silat gerak. Silat makan segerak; makan gerak di dalam gerak. Adalah mustahil sama sekali dalam suatu ketika itu berlaku dua gerak.

Pada pandangan Seni Silat Cekak, ilmu kebatinan yang sebenar itu ialah ilmu untuk mengingati Allah dengan sebenar-benarnya sehingga hati sentiasa terjaga walaupun mata kasarnya lena. Tujuan mengingati Allah itu ialah untuk membersihkan hati dari penyakitnya seperti megah, riya' dan dengki dan supaya hati sentiasa ikhlas terhadap Allah. Setelah hati bersih dan ikhlas barulah Allah membuka dan mengurniakan kepada kita rahsia-rahsia hakikat dan makrifatnya. Pada ketika itu tercapailah tujuan hidup kita iaitu untuk menjadi hamba Allah semata-mata.

Golongan yang menjalani ilmu kebatinan seumpama ini adalah mereka yang berpegang teguh dengan ilmu hakikat dan menganut sepenuhnya ilmu syariat yang kedua-keduanya dari syariat nabi besar Muhammad S.A.W. Ilmu ini jika diperolehi, bermacam-macam kelebihan yang Allah kurniakan. Jika seorang pendekar, maka sangat pantas kaki tangannya. Tatkala berdepan dengan musuh mendapat maunah Allah, dan ketika berhujah dapat mematahkan hujah lawan dengan mudahnya.

Sekiranya kita tidak meneliti dan mendalami ilmu kebatinan yang sebenarnya ini, kita boleh tertipu dengan perkara-perkara luar biasa yang datangnya dari ilmu-ilmu kebatinan yang tidak sebenar, misalnya seseorang dapat membuktikan ilmu kebalnya dengan berjalan di atas bara api atau tidak mati walau ditanam di dalam tanah, maka kita boleh menyangka bahawa itulah ilmu batin yang sebenarnya.

Perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat bolehlah kita kategorikan kepada lima iaitu pertamanya mukjizat, ia diberi kepada rasul-rasul Allah; keduanya Irhas, ia diberi kepada nabi-nabi; ketiganya keramat, ia dikurnia kepada wali-wali Allah; keempatnya hikam/ma'unah, ia dikurniakan kepada orang-orang mukmin. Sementara kelimanya istidraj atau sihir, ia terjadi kepada orang-orang munafik, fasik dan kuffar.

Kesimpulannya bahawa Islam sememangnya memandang mulia terhadap ilmu-ilmu bela diri kerana ia adalah suatu cabang ilmu pengetahuan yang digesa untuk dipelajari. Walau bagaimanapun bidang-bidang ilmu bela diri bermacam-macam, ada yang sesuai dengan ajaran Islam dan ada yang tidak sesuai dengan ajaran Islam. Ilmu bela diri yang sesuai dengan Islam ialah ilmu bela diri yang dapat mendidik peribadi ahlinya menjadi baik, berani dan mengarahkan mereka kepada bertakwa kepada Allah. Seni Silat Cekak merupakan sejenis ilmu bela diri bangsa Melayu yang asli yang boleh bertanggungjawab untuk mempertahankan diri serta selari pula dengan ajaran Islam yang sejati.


KAEDAH PERSILATAN


Kaedah A adalah diilhamkan daripada gerakan doa. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak sebanyak 11 buah iaitu:

Buah Pertama
Buah Kilas Belakang
Buah Kidung Kiri
Buah Hentak
Buah Ali Patah Atas
Buah Ali Patah Sudah Pecahan Pertama
Buah Selendang
Buah Paras
Keputusan Pasong Kemanga
Buah Luncur
Buah Siku Potong

Kaedah B adalah diilhamkan dari gerakan Qiam dalam sembahyang. Daripada kaedah Qiam ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak sebanyak 5 buah iaitu :

Keputusan Gayung Fatani
Keputusan Sendeng Atas
Buah Kuntau Jatuh
Buah Gari
Buah Ali Patah Sudah Pecahan Kedua

Kaedah C adalah diilhamkan dari gerakan rukuk dalam sembahyang. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak sebanyak 3 buah iaitu :

Buah Kilas Hadapan
Keputusan Terlak
Keputusan Lintau

Kaedah D adalah diilhamkan oleh gerakan takbiratul ihram dalam sembahyang. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak sebanyak 2 buah iaitu :

Buah Kuntau Kiri
Buah Hempok

Buah Serang

“Elak kena, tangkis makan"
Keraguan yang biasa diajukan oleh banyak orang terutamanya pelajar baru atau ahli silat dari perguruan lain. Perihal buah serang ni bukanlah rahsia. Siapa yang belajar Silat Cekak sampai tamat akan diajar Buah Serang. Jadi ia bukanlah rahsia. Setiap yang tamat, tentu dapat.

Elak, kena. Dimana logiknya? Senang saja, jika serangan dibuat ketika lawan berada dalam radius yang kita boleh sampai, mengapa tak boleh kena? Di sinilah istimewanya gerak Buah Serang. Gerakannya membolehkan serangan tetap kena walaupun lawan mengelak (asal saja masih dalam radius). Kalau lawan lari terus, mana boleh kena.

Konsepnya macam permainan keris; jika lawan mengelak ke dalam, kena. Jika lawan mengelak keluar, dengan memusingkan pergelangan tangan, mata keris tetap boleh sampai. Sebab sifat mata keris ialah tidak lurus, jika lok-nya sudah haus sekalipun ia tetap tidak lurus. Sama seperti sepukal. Ia semacam tulang rusuk, membengkok. Tapi berapa ramai yang sedar sifat mata keris ni?
Tangkis, makan. Biasalah, bila menangkis, tentulah ada body-contact. Tunggu apa lagi? Makanlah… Ia sangat lazim bagi ahli Cekak yang dilatih untuk menangkap dan mengunci lawan.
Itu bahagian manisnya. Bahagian pahit pula?

Ahli Cekak menerima Buah Serang setelah tamat. Harus diingat ada juga perguruan lain yang menyerang dengan kaedah yang hampir sama dengan Buah Serang. Cuma, ia tidak disebut dengan nama Buah Serang. Dalam Silat Kuntau ia dinamakan sebagai Penumbuk Jantan. Manakala dalam Silat Keris Lok 9, ia disebut sebagai Selangkah Guru Satu Serangan. Seperkara lagi teknik ini diterima oleh pelajar dan dilatih pada hari pertama masuk ke gelanggang. Dalam beladiri Aikido, tekniknya juga sama tapi hanya diajar kepada ahli terpilih sahaja.

Buah Serang bukan tiket untuk Ahli Cekak membesar diri, sebaliknya untuk merendah diri. Lebih menghormati Seni Silat Melayu yang lain sepertimana janji perguruan, “Tidak mencerca Seni Silat Melayu yang lain.”

Asas Keputusan Gayong Petani

Terdapat ralat dalam Buku Merah, silabus yang diajarkan diperingkat Asas yang berjangkit ke peringkat Jatuh, dan membawa impak yang teruk dalam kaedah Pelari Pisau.
Gelek atas TUMIT LEBIH UTAMA? Tidak ada satu silat pun yang gelek di atas tumit. Jika ditulis semula sebagai “Gelek atas tapak lebih utama.” juga silap. Jadi yang betulnya apa?
Gelek mesti atas tapak.
Sebabnya ialah:
  • Tumit memang diciptakan bulat, tapi gelek atas tumit menjadikan kita hilang keseimbangan dan sukar untuk membuat pergerakan berikutnya kerana gelek di atas tumit menjadikan langkah kita berada pada kedudukan tomakninah yang lama (langkah mati).
  • Tapak tidak bulat. Namun secara praktikal, gelek atas tapak dapat mengekalkan keseimbangan & memudahkan pergerakan yang berikutnya.

nama buah....

  1. Pertama
  2. Keputusan Gayong Petani
  3. Keputusan Sendeng Atas
  4. Kilas Belakang
  5. Kilas Depan
  6. Kidong Kiri
  7. Kuntau Jatuh
  8. Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung
  9. Kuntau Kanan Gantung
  10. Keputusan Silat Harimau @ Hentak
  11. Ali Patah Atas
  12. Ali Patah Sudah
  13. Selendang
  14. Gari & Gari Gunting
  15. Paras
  16. Keputusan Pasung Kemanga
  17. Keputusan Terlak
  18. Keputusan Lintau
  19. Hempok
  20. Luncur
  21. Siku Potong.
  22. serang....

November 10, 2011

...

" Mata kapak yang dibuat daripada besi tidak boleh memotong kayu, tetapi kayu juga yang boleh memotong kayu kerana mata kapak tanpa kayunya tidak boleh memotong"

"Sains dan teknologi boleh dicari di mana-mana, budaya tetap hak kita"


"Bila anda tidak punya tujuan utama dalam hidup ini, maka anda pasti akan hanyut menuju kegagalan" 

"Agama bukan sekadar fikiran ataupun perasaan mahupun perbuatan, tetapi adalah pengukapan hidup sebagai keseluruhan"

Doxium 500 Capsule xium 500 Capsule  dinyatakan bertujuan untuk merawat  Retinopati diabetik ,  Vena varikos ,  Pengagregatan plat...