Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang
mengingkariku. Dia membenarkanku di saat semua orang mendustakanku. Dan
dia membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang
menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang
zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang
lain”. [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].
Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin 'Abdil 'Uzza bin Qushay
Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah radhiyallahu'anha. Muslim manakah yang tidak
pernah mendengar sebutan namanya?. Siapakah yang menyangka di saat itu,
keharuman peribadinya kelak akan merebak di sepanjang sejarah Islam di
dada setiap kaum Muslimin? Siapakah yang terfikir bahawa wanita mulia
ini akan dikurniakan satu keutamaan yang amat besar yang tidak pernah
diperolehi oleh sekalian hamba Allah sejak penciptaan insan? Siapakah
yang menduga bahawa wanita cantik jelita ini akan mendampingi manusia
yang paling agung dalam rentang awal perjalanan dakwahnya? Siapakah yang
mampu meramal ketentuan Allah ini? Maha Suci Allah yang telah
menciptakan dan mentakdirkan wanita mulia ini sebagai pendamping Nabi
akhir zaman.
Beliaulah isteri, sekali gus wanita pertama yang beriman kepada Allah
dan Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Dianugerahi reputasi yang
sungguh mulia, keturunan yang terhormat, peribadi yang luhur, perjalanan
hidup yang istimewa, ketajaman daya fikir, semangat yang tinggi dan
kalbu yang bening, nama Khadijah begitu harum di dalam sejarah Islam.
Sebelumnya, beliau dikenali sebagai seorang wanita yang menjaga
kehormatan dirinya sehingga digelar ath-Thahirah (wanita yang suci) .
Beliau seorang janda dari suaminya yang terdahulu, Abu Halah bin Zararah
bin an-Nabbasy bin 'Ady at-Tamimi, kemudian berkahwin dengan 'Atiq bin
'A`idz bin 'Abdillah bin 'Umar bin Makhzum. Khadijah radhiallahu anha
adalah wanita pedagang yang mulia dan banyak harta. Ternyata
pekerjaannya itu telah menghantarkan kepada pertemuannya dengan manusia
yang paling mulia. Saat dia kembali menjadi janda, seluruh pemuka
Quraisy memasang angan-angan agar dapat menyuntingnya. Buah tutur
Maisarah membekas di hatinya tatkala berita tentang kejujuran, amanah,
dan kebaikan akhlak seorang pemuda Quraisy dikhabarkan kepada beliau.
Tersimpan keinginan yang kuat dalam dirinya untuk memperoleh kebaikan
itu, hingga diutus seseorang untuk menemui Rasululllah Sallallahu alaihi
wa Sallam dan menyampaikan hasratnya. Ditawarkan dirinya untuk
dipersunting Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam, seorang pemuda yang
saat itu berusia 25 tahun, miskin dan yatim piatu tetapi tersohor kerana
luhur peribadinya. Wanita jelita itu memperoleh kembali belahan hatinya
dalam usia 40 tahun. Tersurat peristiwa ini dalam sejarah 15 tahun
sebelum Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam diangkat sebagai Nabi
akhirulzaman.
Perawat Duka, Khairul Anam
Wanita mulia inilah menjadi perawat duka suaminya di saat penurunan
al-Haq melalui perantaraan Jibril alaihi sallam yang menggoncang hati
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. “Aku khuatir akan terjadi sesuatu
pada diriku”. Diselimutinya Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam
sehingga beliau kembali tenang dan hilang rasa ketakutannya. Dengan
tenang dan lembut, beliau yang mengalirkan tutur kata penuh hikmah dari
lisannya lantas membiaskan ketenangan di dalam dada suaminya,
“Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati
tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap
benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.
Sesungguhnya beliau telah menjalankan peranan politiknya dengan
ketajaman dan kepekaan akalnya yang menjadikan beliau mampu untuk
mencermati serta memahami dengan jelas masalah wahyu dan risalah yang
diterima oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam,
”Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hatimu! Demi Zat yang
diriku di tanganNya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat
ini”.
Perkhabaran dari Waraqah menjadikan beliau mampu memahami peranan yang
bakal dipikul oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dengan
turunnya wahyu tersebut.
”Khadijah, kalau engkau masih percaya kepadaku, sesungguhnya telah
datang ”an-nams al-akbar” kepadanya. Dia adalah Nabi umat ini. Maka
katakanlah kepadanya agar dia berteguh hati”.
Baginda bukan sahaja seorang suami, atau ayah kepada anak-anaknya,
tetapi juga Utusan Allah dalam menyampaikan wahyu dan risalahNya untuk
umat yang ada pada ketika itu sehinggalah ke hari kiamat.
Di sinilah titik mula kepada sebuah pengorbanan yang tiada surut dan
gantinya. Beliau jugalah manusia pertama yang solat di belakang
Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersama Saidina Ali radhiallahu
anhu. Terus mengalir dukungan dan pertolongan dari beliau dalam
menghadapi kaumnya. Beliaulah yang membantu Rasulullah Sallallahu alaihi
wa Sallam dalam mengibarkan bendera Islam, tegar bersama Rasulullah
sebagai angkatan pertama. Setiap kali beliau mendengar kata-kata kesat
yang dilontarkan kepada suamninya, beliaulah yang setia di sisi baginda
dan meringankan beban perasaan yang sangat berat ditanggung oleh kalbu
manusia terpilih.
Bukan hanya itu sahaja kebaikan Khadijah radhialllahu anha. Beliau
mengorbankan setiap harta yang dimiliki kepada suaminya. Bahkan, ketika
Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menampakkan rasa senangnya pada
Zaid bin Haritsah, seorang hamba miliknya, beliau segera menghibahkan
hamba itu kepada suaminya. Zaid diangkat sebagai orang yang sangat dekat
di sisi Rasulullah dengan menjadi anak angkat baginda sendiri. Turut
tercatat, Zaid memperolehi kemuliaan sebagai salah seorang dari saf
pertama yang mengimani dakwah Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.
Sebagai seorang isteri, beliau merupakan pendorong utama bagi Rasulullah
Sallallahu alaihi wa Sallam untuk selalu giat berdakwah, bersemangat
dan tidak kenal menyerah. Beliau juga selalu berusaha meringankan beban
berat di bahu Rasulullah. Kebijakan, kesetiaan dan banyak lagi kebaikan
Khadijah tidak pernah lepas dari ingatan baginda Rasul. Bahkan sehingga
Khadijah meninggal dunia. Beliau benar-benar seorang isteri yang
mendapat tempat tersendiri di dalam hati Nabi Allah ini. Betapa kasihnya
baginda terhadap Khadijah sebagaimana di buktikan dari penceritaan
Saidatina ‘Aisyah radhiallahu anha.
“Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah
Sallallahu alaihi wa Sallam sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah,
padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah Sallallahu alaihi
wa Sallam selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih
kambing dan diberikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan pernah
aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah
sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik
daripadanya?”. Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menyebut,
“Tidak! Demi Allah !Dia Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan seorang
pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman
kepadaku pada saat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkan ajaran
yang aku bawa di saat orang-orang mendustakanku. Khadijah membantuku
dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya
dariku dan Allah mengurniakanku beberapa orang zuriat dari rahimnya
yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain” . [HR. Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].
Ummul Mukminin ini sentiasa berada di samping Rasulullah Sallallahu
alaihi wa Sallam dan memberikan pembelaan terhadap baginda. Beliau juga
bergabung bersama Rasulullah dan kaum Muslimin dalam memikul penderitaan
lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda.
Kesabaran dan keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri
hambatan terhadap dakwah Rasulullah, termasuklah dalam fasa pemboikotan
terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy
yang selama ini menjadi pelindung kepada Rasulullah.
Wanita Teladan Sepanjang Zaman
Ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala, di usia 65 tahun iaitu 3 tahun
sebelum Hijrah, Khadijah radhiallahu anha kembali kepadaNya di saat-saat
dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya.
Pemergian beliau ditangisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam,
berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib,
bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut, hambatan-hambatan
dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula
berani dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah.
Sesungguhnya nama Khadijah tercatat di dalam sirah sebagai wanita
pilihan sehingga namanya disebut-sebut di kalangan penduduk langit dan
bumi. Kemuliaan itu telah diraihnya sejak masih ada di muka dunia.
Tatkala Jibril Alaihi Sallam datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam dan mengatakan,
“Wahai Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Ini dia Khadijah. Dia
akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman. Bila ia datang
kepadamu, sampaikanlah salam padanya dari Rabbnya dan dariku, dan
sampaikan pula khabar gembira tentang rumah buatnya di dalam syurga dari
mutiara, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan”.
Khadijah lantas menjawab salam itu dengan katanya: “Allah Maha
Penyelamat, daripada-Nya keselamatan dan kepada-Nya pula kembali
keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.” [HR. Bukhari dalam Shahih Bukhari, Bab Perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539]
Wahai Muslimah yang dirahmati Allah! Sesungguhnya istana tersebut adalah
jauh lebih baik dari pada gemerlapnya dunia fana yang telah
memperdayakanmu. Dan ini adalah sebaik-baik khabar gembira dibandingkan
dunia dan segala isinya. Tidakkah kalian ingin mendapatkannya pula?
Ya Allah! Betapa mulianya Khadijah binti Khuwailid, As-Sayyidah
Ath-Thahirah. Seorang isteri yang setia dan tulus, mukminah mujahidah di
jalan deenNya dengan seluruh apa yang dimilikinya dari perbendaharaan
dunia. Semoga Allah memberikan balasan yang paling baik kerana
jasa-jasanya terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Doxium 500 Capsule xium 500 Capsule dinyatakan bertujuan untuk merawat Retinopati diabetik , Vena varikos , Pengagregatan plat...
-
“Elak kena, tangkis makan" Keraguan yang biasa diajukan oleh banyak orang terutamanya pelajar baru atau ahli silat dari perguruan la...
-
Doxium 500 Capsule xium 500 Capsule dinyatakan bertujuan untuk merawat Retinopati diabetik , Vena varikos , Pengagregatan plat...
-
Dikamar ku menyepi Hanya lilin menerangi Beginikah seksanya Hidup dalam penantian Ditabir tirai malam Ada insan kesepian, keseorangan... Dan...
No comments:
Post a Comment